Pusat Wilayah - Pusat Wilayah merupakan tempat berlakunya
sesi Sidang Video. Telesidang ini dilangsungkan mengikut jadual yang telah
ditetapkan. Bagi berlaku adil, setiap subjek akan dijadualkan. Dengan itu,
pelajar hanya perlu datang ketika mana subjek yang dipelajari pada tahun semasa
sahaja.
Sidang Video – Sidang Video
merupakan kuliah jarak jauh yang menggunakan teknologi telesidang dimana
pensyarah akan memberikan kuliah secara dua hala. Para pelajar boleh bertanyakan
soalan ketika sidang berlansung begitu juga dengan pensyarah. Hanya beberapa
subjek sahaja yang tidak mempunyai sidang video iaitu lazimnya berbentuk subjek
bahasa dan teras universiti. Sidang video biasanya berlangsung di Pusat
Pengajian Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia dan dipancarkan secara langsung
ke seluruh Pusat – Pusat Wilayah. Bagi yang tidak berkesempatan hadir usah
bimbang kerana sidang video ini turut dirakam. Oleh itu, para pelajar akan
dapat memuat turun rakaman sidang ini menerusi E-Learning Portal.
Minggu Intensif – Merupakan
pelantar kepada pelajar untuk bersemuka dengan para pensyarah. Minggu Intensif
ini akan menghimpunkan seluruh para pelajar jarak jauh USM di Kampus Induk di
Minden, Pulau Pinang. Di sini juga lah lazimnya para pelajar akan melupakan
seketika bebanan tugasan kerja sebaliknya menumpukan sepenuhnya bagi tugasan
universiti sama ada tugasan berseorangan mahupun berkumpulan.
Bahan Bacaan – Bahan Bacaan
atau rujukan lazimnya akan dibekalkan sama ada berbentuk buku teks mahupun
modul atau e-modul dan juga buku rujukan yang boleh didapati di mana – mana
perpustakaan sama ada perpustakaan awam mahupun perpustakaan USM.
Tugasan Universiti – Tugasan
Universiti lazimnya membawa 20 peratus markah keseluruhan. Ada juga tugasan
yang bersifat 100 peratus markah. Hal ini berlaku apabila subjek bagi tugasan
itu tidak dimaktubkan dalam peperiksaan akhir. Ada juga tugasan yang
memperuntukkan markah 15 peratus. Peruntukkan markah ini boleh disemak semula
dalam Buku Panduan Pelajar yang dibekalkan sewaktu minggu orientasi tempoh
hari.
Peperiksaan Berterusan –
Peperiksaan Berterusan merupakan satu lagi elemen pembelajaran secara jarak
jauh di USM. Peperiksaan ini berlangsung pada Minggu Intensif dan turut
menyumbangkan peruntukkan markah yang agak banyak iaitu 20 markah. Pemberatnya
di sini. Mana – mana pelajar yang gagal hadir dalam peperiksaan berterusan ini
adalah terhalang untuk menduduki peperiksaan akhir.
Markah Penimbal (Carry Mark) –
Hanya 40 markah maksimum yang diperuntukkan bagi setiap individu pelajar.
Markah penimbal ini adalah markah – markah yang dikumpul menerusi tugasan
universiti dan peperiksaan berterusan serta ada juga sesetengahnya menerusi
kuiz yang disediakan oleh pensyarah di Portal E-learning.
Subjek Major – Merupakan 13
Subjek utama bidang kajian. Subjek – subjek ini perlu dipelajari sepanjang
tempoh pengajian. Tempoh pengajian hendaklah tidak kurang empat (4) tahun dan
tidak lebih (12 tahun).
Subjek Minor – Merupakan empat
(4) atau lima (5) Subjek sampingan dalam mana – mana bidang bagi melengkapkan
100 – 136 jam kredit untuk bergraduat. Subjek ini juga perlu dipelajari
sepanjang tempoh pengajian iaitu di antara empat (4) hingga (12) tahun.
Peperiksaan Akhir – Merupakan penyumbang
terbesar pemarkahan. Peperiksaan Akhir ini berjalan serentak di seluruh Pusat
Peperiksaan yang berdaftar. Pelajar hanya perlu menduduki peperiksaan yang
didaftarkan di dalam Slip Peperiksaan sahaja. Kesilapan membaca jadual adalah
tanggungjawab sendiri.